UCAPAN DASAR, 4 JULAI 2010
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO PETALING JAYA UTARA
SEMPENA MESYUARAT TAHUNAN PERGERAKAN PEMUDA 2010

@MB
Kearah merealisasi Masyarakat Melayu yang Bermaruah sebagai asas Kebangkitan Bangsa menuju wawasan 2020

“Memangkin Perubahan melalui Agenda Melayu Bermaruah”

Para perwakilan yang dihormati,

Satu Negara, satu halatuju – Gagasan 1Malaysia

Negara kita sekarang berada pada zaman yang amat unik sekali dan pastinya sejarah Malaysia kelak akan meneliti perubahan zaman ketika ini sebagai titik permulaan suatu era kehidupan yang dibanggakan. Adakah Malaysia sudah bersedia untuk kepimpinan dua komponen parti dominan, seperti Negara menbangun, contohnya Amerika? Adakah juga masyarakat Malaysia sudah sedia dengan cabaran-cabaran lain Negara membangun dengan pendekatan mereka terhadap isu-isu sensitif seperti meritokrasi, subsidi, agama, interaksi dan isu-isu antara kaum?

Untuk sekian lama selepas merdeka, kita tidak sering menyuarakan secara terbuka tentang isu-isu tersebut kerana ianya sering dikait dengan senstiviti kehidupan harmonis antara kaum. Kontrak sosial termaktub dari masa sebelum merdeka lagi yang dimeterai di atas kefahaman dan permuafakatan di antara pemimpin bangsa utama Negara iaitu Melayu, Cina dan India yang mahukan kehidupan bersama sebagai satu entiti, satu Negara, satu masyarakat yang ketagihan kebebasan dari kecaman penjajah. Mereka bersatu hati dan tekad dengan satu hala tuju yang berkehendakan untuk tidur sebantal dan impian yang sama.

Tetapi kini, rakyat Malaysia, walaupun tidur sebantal, mimpi kita – tidak serupa. Kita tidak bergerak seiringan, dan terlalu banyak perasaan cemburu, irihati, ketidakpuasan, kesangsian diantara kita. Pada ucapan dasar saya pada tahun lepas, saya meletakkan agenda paling utama yang perlu kita pertengahkan adalah Perpaduan Melayu. Tetapi saya ingin mengajak perwakilan untuk bergerak setapak lagi iaitu Perpaduan Negara.

Perasaan negatif yang menyelubungi kita antara bangsa ini mungkin adalah rekaan penjajah kita sebelum ini yang akibatnya, keretakan satu masyarakat pada hari ini dengan strategi mereka melalui “divide and conquer”. Melayu di kampong, Cina di pekan dan India di estet-estet pertanian. Maka jika dahulunya pemimpin kita antara kaum dapat duduk semeja dengan semangat yang ikhlas sebagai satu masyarakat dengan satu hala tuju, maka sudah tiba masanya UMNO sekali lagi mesti bangun sebagi pemimpin masyarakat terbesar Negara untuk mengorak langkah dan melakar hala tuju membawa Negara Malaysia tercinta kearah Satu Wawasan, Satu Cita-cita dan Satu Impian. Kita sudah tidur sebantal, seharusnya mimpi dan impian kita juga sama. Inilah harapan YAB Dato Seri Najib Tun Abdul Razak yang telah membentangkan halatuju kita; yang mana sebenar-benarnya adalah intipati utama sebalik Agenda Gagasan 1Malaysia.

“..have no fear, BN is here.. - Dato Seri Najib Abd Razak, Ucapan Perasmian Program Rally 1Malaysia”

Prof Khoo Kay Kim, pakar sejarah Negara di dalam satu rencana tulisan beliau telah merumuskan bahawa kepincangan di dalam perpaduan Negara adalah disebabkan oleh kekurangan komunikasi di antara kaum dan salah faham konsep asas kontrak sosial di antara kita yang sebelum ini menjadi pegangan, diikuti dan dihormati oleh semua.

Lebih teruk lagi sesetengah pihak tidak mahu menerima hakikatnya yang kontrak sosial ini wujud sebagai asas perjajnjian semasa menuntut kemerdekaan. Anak kelahiran selepas Merdeka kebelakangan ini sudah berani menyuarakan, termasuk orang Melayu sendiri, bahawa rakyat Malaysia ini semuanya sama sahaja, kenapa perlu ada hak istimewa Bumiputera, kenapa perlu ada dasar ekonomi yang berat sebelah kepada sesetengah kaum termasuk isu pembahagian biasiswa, hakmilik tanah, peluang kerja disektor Kerajaan dan lain-lain lagi sebagai contoh.

Memang benar jika ianya diambil dari luaran, “face –value”, mungkin ianya dilihat tidak adil. Tetapi ini adalah fikiran dan kefahaman mereka yang cetek dan pekak sejarah. Retorik inilah yang di salahgukan oleh pembangkang di dalam mereka menghasut masyarakat untuk keuntungan mereka sendiri tetapi akhirnya masyarakat keseluruhanlah yang akan rugi bila mana kita berpecah tanpa satu halatuju dan satu cita-cita yang nyata. Inilah yang mereka laung-laungkan di dalam slogan “Selamatkan Malaysia” mereka, seolah-olah Negara ini berada di dalam kemunduran yang dasyat dan tiadapun hasil yang dapat dibanggakan di dalam kepimpinan UMNO/BN memerintah Negara selama lebih 50 tahun yang lampau.

Kita perlu celik sejarah dan perlu memahami sejarah. Akibat cetek sejarahlah membawa rugi dan padah kepada semua, termasuklah episod titik hitam 16 Mei. Bukan setakat itu sahaja. Kita harus berani berdepan dengan bangsa lain memberi penerangan kepada mereka tentang situasi sebenarnya. Allah swt berfirman dan menyuruh kita berlaku adil bukan sahaja kepada sesetengah kaum tetapi keseluruhan masyarakat. Inilah peranan dan asas perjuangan UMNO dan ianya juga perlu dilihat dari konteks BN. Untuk berlaku adil, sudah semestinya semua pihak memahami peranan masing-masing dalam menjana kehidupan dan kemakmuran kehidupan sebagai satu masyarakat yang aman dan progresif.

Peranan UMNO.

Dizaman era maklumat dan Facebook, UMNO perlu ada kebijaksanaan dalam ianya menterjemahkan kotrak sosial dan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu. Perlembagaan Negara adalah tunjang kepada penyatuan semua elemen di dalam sebuah Negara demokrasi. Ianya bukan terbentuk untuk kepentingan sesetengah bangsa sahaja tetapi memastikan Negara yang mendokong demokrasi ini menjamin kesejahteraan kehidupan untuk semua.

Hak orang melayu termasuk hak keistimewaan orang Melayu termaktub dari azali kemerdekaan Negara. Saya percaya, dengan tersandarnya Perkara 153 ini dan Perkara lain yang berkaitan dengannya telahpun dibahaskan, dibincangkan, diperiksa, dikaji dan langsung dipersetujui oleh kesemua pepimpin berbilang bangsa ketika itu yang berhasratkan kedamaian, kesejahteraan dan kemajuan sebuah Negara demokrasi, dengan visi jauh kedepan menjagkaui ratusan tahun seperti contoh bertahannya Perlembagaan Amerika yang hari ini genap 234 tahun.

Kita di Negara Malaysia tercinta ini, tidak sampai pun 53 tahun sudah mula meragui dengan beberapa komponen di dalam Perlembagaan kita, termasuk hak istimewa sepertinya perkara 153. Dalam hal ini, ada dua pendekatan yang diguna pakai oleh pihak tertentu untuk mencapai objektif unutk kepentingan mereka sendri. Pertamanya orang berbangsa Melayu yang sering melaung-laungkan dan meperingatkan Bangsa lain tentang Hak ini sehingga mungkin menakut-nakutkan Bangsa lain dan mendapat kebencian mereka.

Pada masa yang sama, ada pula pihak berbangsa yang lain seolah-olah tidak tahu tentang keujudan Perlembagaan ini, kontrak sosial dan Perkara tersebut di dalam Perlembagaan, tidak paham ataupun buat-buat tidak paham sehinggakan bersuara dan menghasut mereka dan juga berbangsa Melayu untuk mempertikaikan Hak Istimewa ini dari segi tidak demokrasiannya, mencabul hak-hak kebebasan, ketidak adilan sosial dan ekonomi serta bermacam-macam lagi komponen negatif di dalamnya. Sehinggakan orang Melayu kita sendiri pun terbawa-bawa dengan fahaman ini yang akhirnya membuahkan perpecahan, ketidak stabilan politik dan ekonomi, perasaan kebencian dan sebagainya. Sebagai pemimpin politik Melayu dan kita sebagai Pemuda benteng perjuangan Melayu, janganlah kita terpedaya dengan permainan mereka ini.

Saudara-saudara sekelian, jangan terperangkap dengan retorik pihak-pihak tertentu yang hendak memecah belahkan kita. Kita perlu kepada kebijaksanaan di dalam merungkai jalan terbaik menangani isu yang amat sensitif ini. Pada kaca mata luaran, mungkin dilihat sepertinya ada unsur ketidak adilan. Contohnya kenapa kita diberi lebih biasiswa pendidikan, kouta tertentu, subsidi tertentu, juga diskaun istimewa membeli hartanah, juga dasar affirmative seperti pecahan 30% dari kek ekonomi yang terpahat di dalam Dasar Ekonomi Baru. Kata mereka berbangsa lain, saya juga rakyat Malaysia dilahirkan dibumi yang sama yang inginkan hak sama rata dengan berlandaskan merit yang tertentu. Sudah tentu bila dilihat tidak adil, akan timbul kebencian, kecerumbuan, kemarahan dan sebagainya.

Kata orang, “..jangan takut dengan baying-bayang sendiri …”. Melalui UMNO, saya pasti kita yang berada di dalam dewan ini akan berjuang sehingga titisan yang terakhir untuk memastikan Hak Orang – orang Melayu di dalam Perlembagaan itu akan terjaga, dihormati dan diimplimentasikan.

Namun demikian, pendekataan pada hari dan zaman ini perlu berbeza dan mestinya dihalusi dengan kebijaksanaan. Kita tidak perlu hanya vokal semata-mata, untuk mempertahankan Hak sepertinya Perkara 153 itu kerana ianya sudah termaktub dan selamat di dalam Perlembagaan. Apa yang hendak kita perjuangkan adalah Perlembagaan itu sendiri dan kita mesti memastikan kita berkuasa dengan tiada kuasa lain yang melebihi 2/3 undi di Parlimen yang memungkinkan penukaran Perkara-perkara tertentu di dalam Perlembagaan Negara kita. Selagi kuasa itu kita jaga maka, sehingga itulah Hak-hak di dalam Perlembagaan Negara kita ini akan terpelihara. Ini adalah strategi “Aktif”, (dengan harapannya bukan lagi “pasif” seperti dulu) yang lebih berkesan memperkasa Melayu melalui UMNO dan BN.

Kalau dilihat dari segi statistic pula, seharusnya selagi mana populasi Negara dengan peratusan Melayunya melebihi 63%, maka sudah tentu undian kerarah pemantapan dan kemajuan orang Melayu pastinya terpelihara. Namun demikian, oleh kerana perpecahan orang Melayu sendiri, mengakibatkan kepada kelemahan dan kerugian kepada kita. Kerana itulah, kita perlu pragmatic dan berusaha terhadap penyatuan dan perpaduan temasuk aktiviti aggresif seperti pendaftaran sebagai pengundi. Janganlah kita lalai dan alpa seperti lapuran Berita Harian baru-baru ini yang melapurkan hanya seorang Melayu sahaja mendaftar sebagai pengundi setiap 40 pengundi bukan Melayu!

Hubungan Melayu dan Bukan Melayu

Pemerhatian kita dari piliharaya kecil di Hulu Selangor dan Sibu menunjukkan masyarakat China tidak bersama BN. Kenapa? Sebelum saya menjawab persoalan itu, saya ini melakar sebab kenapa kita perlu perbincangan tentang masyarakat Cina ini.
Pertamanya kita perlu menerima hakikat bahawa tanpa sokongan mereka dari segi kiraan matematiknya memang sukar untuk memerintah Negara hanya dengan sokongan orang Melayu sahaja. Sebagai contoh yang nyata, di Selangor ini sahaja pungutan pengundi Melayu hanya kurang 49% dari jumlah keseluruhan jumlah pengundi.

Keduanya, sebagai pemimpin Islam yang berlaku adil, adalah tanggungjawab kita untuk memerintah, membantu dan mentadbir untuk keseluruhan rakyat Malaysia sebagai satu entiti yang melebihi 26 juta dan bukan sahaja untuk sesetengah golongan rakyat. Dan ketiga, hakikatnya masyarakat Cina memiliki melebihi 80% dari penguasaan ekonomi Negara. Maka, untuk mana-mana masyarakat untuk maju kehadapan, ekonomi adalah paksi utama tanda pengukur kejayaan dan tidak dapat dipisahkan dari agenda politik, sosial dan pembangunan Negara.

Namun demikian, perlu diingat “keadilan” itu tidak bermakna perlu konsisten dengan komponen “kesaksamaan”. Jika tidak, demokrasi akan relai dan diambil alih dengan Negara sosialis atupun komunis, kearah semuanya sama rata. Maka, retorik pihak tertentu dengan slogan mereka, “Selamatkan Malaysia”, itu, untuk keadilan dan persamaan hak semua kaum berbilang bangsa, perlu juga konsisten dengan kesamaan dari semua aspek mengikut pecahan populasi di Negara ini. Sebagai contoh, kenapa perlu affirmative DEB 30% ekonomi dan buklannya 60%, juga boleh ditetapkan 60% pembahagian dari aspek lain termasuk peluang pekerjaan (juga di Syarikat bukan kepunyaan Bumiputera), biasiswa, perumahan dan lain-lain lagi. Persamaan ini, sebenarnya membuahkan ketidak adilan di dalam masyarkat tersebut.

Saya percaya di dalam konteks ini, keadilan bukanlan tercapai semestinya melalui kesamaan hak-hak semua rakyat berbilang kaum di Negara kita. BN perlu bijaksana dengan di dalam kepimpinan mereka, menarik rambut di dalam tepung, dan memastikan semua rakyat terbela dan kemajuan tercapai serta adil untuk semua. UMNO pula perlu memainkan peranan yang bijaksana, aktif dan inklusif, yang mana memperjuangkan Melayu tanpa mebawa kepada kebencian, kecemburuan dan tidak senangan bangsa yang lain.
Ini dapat tercapai sekiranya kita dihormati, dipercayai dan disayangi. Melayu apakah ini? Inilah Melayu @MB, melalui Agenda Melayu Bermaruah…

Agenda Melayu Bermaruah @MB

Kenapa perlu diusulkan Melayu perlu Bermaruah? Seolah-olahnya Melayu ini digelumang dengan berbagai-bagai masalah termasuk kemiskinan, rasuah, masalah sosial, berempit, buang anak, dadah dan sebagainya. Apabila kita bermaruah, kitak tidak sanggup melakukan perkara-perkara tersebut kerana nilai air muka kita lebih berharga dari kesanggupan untuk dihina dari kaca mata masyarakat.

Melayu bermaruah ini akan cuba untuk menjadi yang terbaik, jujur dan dipercayai dalam segala aspek kehidupan. Sekiranya di dalam pekerjaan, tidak kira apa peringkatpun kita bermaruah dan dihormati. Di dalam sukan juga, demi maruah diri dan Negara kita punya semangat patriotism yang tinggi berjuang bermati-matian. Di dalam kehidupan sesama masyarakat juga, bukan kita lah yang mencurigakan tetapi kitalah yang kedepan bergotong- royong dan meluahkan tenaga bakti. Melayu bermaruah jugalah yang menghormati, menyayangi kebersihan dan alam sekitar.

Maka, dengan perjuangan inilah bukan sahaja kita mendapat tempat di hati orang Melayu, juga bukan Melayu. Kita berani berdepan dengan mereka, berhujah tentang keadilan, bukan keranan kita bangsa yang lemah, bangsa yang mengharapkan subsidi dan kebajikan percuma semata-mata; tetapi kerana kita bermaruah, berkebolehan memimpin dan mebawa keseluruhan rakayat ke hadapan demi kemakmuran bersama. Komunikasi dua hala ini penting dan sejarah kemajuan Negara dipahat bersama. “… No man is an island…”; Melayu dan bukan Melayu hidup seiringan! Kita bukan memaksa bukan Melayu menerima Hak Istimewa orang Melayu tetapi secara halus untuk perpaduan, dan cita-cita 1Malaysia memahami kontak sosial ini dan keadilan disebaliknya yang sebenarnya menguntungkan semua pihak membawa Negara kepersada kejayaan.

Kesimpulan

Tiada sesiapa yang boleh merubah nasib kita selain dari kita sendiri membuat perubahan tersebut, sebagaimana ingatan Allah swt kepada kita di dalam Al-Quran. @MB, Agenda Melayu Bermaruah ini seharusnya terpahat di dalam hati kita dan pendekatan ini dengan kebijaksanaa menjadi pergerakan dan pemikiran cara baru kita.

Marilah kita bersedia, mengorak langkah dan meletakkan kepentingan Pilihanraya PRU 13 sebagai tonggak aktiviti dan program kita. Tidak guna kita mengadunkan resipi kemenangan PRU13 sekiranya kita sendiri tidak menggerakkan Melayu sebagai pengundi. Marilah kita menyemarakkan semangat orang Muda, dan menggerakkan mereka untuk bersama kita demi memartabatkan Agama, Bangsa dan Negara. @MB bukan lagi hanya perubahan, tetapi transformasi melakar sejarah di dalam era baru pembangunan Negara, kearah merealisasi Masyarakat Melayu yang Bermaruah sebagai asas Kebangkitan Bangsa menuju wawasan 2020.

Akhir kata saya percaya Melayu Bermaruah adalah kunci kepada perpaduan UMNO dan kepimpinan yang efektif Melayu di Negara ini. Melayu Bermaruah bijaksana dan Melayu Bermaruah adalah Melayu yang dihormati semua yang menjadi paksi integrasi dan komponen yang membawa seluruh masyarakat kita kearah kejayaan satu Negara, 1Malaysia.

Hidup Perpaduan, Hidup UMNO, Hidup Melayu Bermaruah!
Sekian. Wassalamualaikum wbt.

@MB
Latt Sharizan Abdullah