Latt Sharizan Abdullah
Agenda Melayu Bandar - Memangkin Perubahan

Archive for October, 2008

Agenda Melayu Bandar - Pemangkin Perubahan

Uncategorized No Comments »

Alhamdulillah. Sebagai posting pertama dalam blog saya ini, saya ingin memaparkan perbahasan saya untuk satu usul dalam Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Petaling Jaya Utara 2007 bertajuk “Agenda Melayu Bandar - Pemangkin Perubahan”. Ia dibahaskan dalam konteks masa itu (Julai 2007), iaitu tidak lama selepas Pilihan raya kecil Ijok bulan April 2008, dan oleh itu mengandungi beberapa pemerhatian tentang isu di Ijok.

Memang terlalu banyak perkembangan politik negara telah berlaku sejak itu. Tapi saya kira isu yang dibangkitkan Pemuda UMNO PJ Utara, iaitu menangani secara khusus isu masyarakat melayu di bandar di bawah satu Agenda Melayu Bandar, sangat relevan dalam perkembangan politik masa kini. Insya-Allah, atas sebarang feedback yang diterima dari para pembaca, dapat kita kembangkan lagi perbincangan ini. Buat masa ini, diharap kertas pembahasan ini dapat direnungkan bersama.

Agenda Melayu Bandar - Pemangkin Perubahan
28 Julai 2007
(Di bahaskan dan diterima Usul Politik ini di Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Petaling Jaya Utara 2007)

Saya ingin mengambil 3 pendekatan pada malam ini untuk mengupas Usul kita iaitu Pertamanya 1) Pendefinisian AGENDA MELAYU BANDAR, kedua 2) Kenapa perlu diadakan ataupun dititikberatkan AGENDA MELAYU BANDAR ini dan akhir sekali Ketiganya 3) Cadangan memperincikan dan mengimplimentasikan AGENDA MELAYU BANDAR ini.
Para perwakilan yang dihormati,

1. Definisi Agenda Melayu Bandar

Apakah itu Agenda Melayu Bandar? Kalau di ambil definisi bahasanya adalah – Agenda itu ialah Objektif, Matlamat atupun Halatuju. Melayu Bandar itu adalah masyarakat Melayu yang tinggal atapun bekerja di Bandar. Aspek Agenda Melayu Bandar ini besar dan luas sebenarnya dan merangkumi segala aspek yang lebih menyeluruh termasuk, Ekonomi, Pendidikan dan Sosial. Saya mengambil pendekatan politik untuk perbentangan usul pada malam ini, maka usul yang dibawa ini adalah berkisar kepada Halatuju Politik Masyarakat Melayu diBandar.
Saudara2 Perwakilan yang dihormati, untuk isi saya yang kedua,

2. Kenapa perlu ada Agenda Melayu Bandar

Di dalam perbincangan saya bersama Dato Ketua Bahagian tentang Usul ini, beliau memberi beberapa input tentang pendekatan Usul. Ianya termasuk kenapa perlukah kita membezakan di antara Melayu Bandar dan Melayu kampong ataupun Luar Bandar.

Sebenarnya para perwakilan sekelian, asas perjuangan kita masih berpaksikan kepada memartabatkan Agama, Bangsa dan Negara dimana jua kita berada walaupun diBandar ataupun diDesa. Tetapi yang diperbincangkan ini adalah pendekatan khas dan khusus Hala Tuju Politik Melayu Bandar; dan mekanisme perjuangannya yang pastinya berbeza kerana keperluan sosio-politk yang berbeza.

Kalau dikupas dengan lebih mendalam, sebenarnya AGENDA MELAYU BANDAR ini adalah kejayaan perjuangan politik UMNO yang berterusan kerana Bandar itu tidak terbit secara tiba – tiba;

tetapi sebenarnya ianya adalah evolusi dan perkembangan sesebuah desa atau kampong secara perkembangan yang positif dan semula jadi. Ini berteraskan kejayaan dasar kerajaan UMNO sendiri di dalam mengimplimentasikan program2 ekonomi sosial dan politik.
Saudara – saudara perwakilan sekelian,

Kita mengambil keputusan untuk mempertengahkan Agenda Melayu Bandar ini adalah kerana pemerhatian tentang beberapa fakta seperti berikut :

1) Mengikut Statistic Repot Pelan Fizikal Nasional pada tahun 2000 perbezaan populasi Bandar dan Luar Bandar adalah 12 juta berbanding dengan 6 juta (iaitu dalam 50%). Perangkaan pada tahun 2015 pula adalah 18 juta di Bandar berbanding 6 juta (iaitu 33%). Maka, dapat dilihat perkembangan populasi luar Bandar menjadi Bandar adalah amat pesat.

2) Pilihanraya di Ijok. Isu – isu yang dibangkitkan oleh pengundi adalah isu berkaitan servis perkhidmatan dan kualiti kepimpinan. Rakyat lebih peka dan lebih pandai menilai kepimpinan dan bukan hanya melihat kepada Parti yang bertanding tetapi individu yand di tampilkan.

3) Integrasi perkauman yang kian melebar. Sebagai contoh, ini dapat dilihat dari jumlah pembangunan perumahan yang mahal yang hanya mampu dibeli oleh orang bukan Melayu dan fakta 30% kouta Melayu tidak dipenuhi di Bandar. Juga dilihat sekolah kebangsaan kurang mendapat sambutan bangsa bukan Melayu.

4) Jumlah pengundi orang Melayu di Petaling Jaya Utara menguncup dari 11,000 kepada 9,000 pengundi dari tahun 2004. Kemana pergikah pengundi orang Melayu Bandar?

5) 75% dari populasi Negara adalah berumur 44 tahun dan kebawah yang mana mereka ini tinggal ataupun berhjrah untuk kerja dibandar. Kegunaan SMS dan teknologi changgih di dalam proses berkempen.

Seterusnya Sdr2 perwakilan saya bentangkan isi yang ketiga,

3. Cadangan memperincikan dan mengimplimentasikan Agenda Melayu Bandar

Pertama,

a) Untuk meletakkan perjuangan politik UMNO berasaskan ketelusan, amanah dan keterbukaan

- Amanah

Sebelum adanya perpaduan semestinya ada kepercayaan. Dan apabila kepercayaan itu di salah gunakan maka jangan salahkan keretakan di dalam perpaduan. Perlu ada amanah di dalam kepimpinan dan perlu ada pemahaman konsep amanah itu sendiri.

Dimana datangnya kuasa? Kuasa itu datang dari golongan dipimpin, grass-root, rakyat dan sebagainya yang telah mengamanahkan kepercayaan mereka untuk sementara waktu – iaitu dipinjamkan kuasa bagi pihak mereka. Iaitu mereka yang diamanahkan ini dipinjamkan kuasa buat sementara waktu bagi menjalankan sesuatu kerja ataupun Agenda – Bagi pihak meraka.

Maka AGENDA MELAYU BANDAR akan meletakkan amanah sebagai paksi di dalam kepimpinan;

dan semua pihak mesti menghayati, memahami dan menghormati Amanah ini di dalam proses kepimpinan dan penjalanan tugas mereka. Amanah akan mengingatkan pemimpin Kuasa itu sebenarnya pinjaman sementara dan, dari manakah kuasa itu datang sebenarnya.

Tepat sekali dengan laungan Perdana Menteri kita iaitu “bekerja bersama saya” dan semestinya bukan bekerja untuk pemimpin itu. Tetapi sebaliknya. AGENDA MELAYU BANDAR meletakkan penekanan di sini iaitu Pemimpin sebenar – benarnya bekerja untuk mereka yang dipimpin termasuk rakyat Melayu Bandar.

Kembalikan punca Kuasa itu kepada rakyat.

Dari aspek - Ketelusan & keterbukaan pula,
Kita lihat dari segi Masalah sedia ada,

Saya sering diberitahu oleh seorang sahabat lama politik, iaitu di dalam politik 1 + 1 bukan 2 dan mungkin 3 atau 4 dan sebagainya. Tetapi, saya kurang bersetuju dengan idealisme ini. Melayu Bandar menerima sesuatu isu itu dengan fakta dan dari sumber yang boleh dipercayai. Pemimpin mestilah memimpin melalui teladan. Cakap mesti serupa bikin.

Jangan kita tenggelamkan konsep ketelusan dan keterbukaan itu dan lindungi diri kita dibelakang tabir idealisma tersurat dan tersirat. Jangan kita menipu rakyat dan diri kita sendiri dengan bersembunyi dibawah alasan sesuatu isu itu sensitive.

Contohnya, isu ini mungkin OSA atau berunsur perkauman dan sebagainya.
Saudara – saudara perwakilan,

Saya bersetuju bahawa sesetengah kes atau isu itu sememangnya sensitive tetapi kita masih perlu sentiasa telus dan terbuka. Tiada alasan untuk sebaliknya dan tiada alasan untuk berdolak dalih dan menipu. Kita perlu sedar Melayu Bandar ini tidak bodoh dan di zaman informasi & internet ini maklumat yang bermacam jenis boleh di dapati.

Maka,

Penyelesaiannya adalah dengan menggunakan Kebijaksanaan atau Fatanah di dalam kepimpinan. AGENDA MELAYU BANDAR meletakkan asas Kebijaksanaan itu sebagai paksi di dalam segala aspek kepimpinan bagi kita menampung hasrat untuk sentiasa Telus & Terbuka. Dengan menggunakan Kebijaksanaan kita dapat mencapai sesuatu objektif yang terbaik untuk kebaikan semua.

Sebagai Contoh semasa :

Contoh isu semasa ialah, baru2 ini Dato Hishammudin Ketua Pergerakan UMNO Malaysia yang menghunus dan mencium keris tempoh hari. Ini telah dijadikan isu perkauman yang mana melambangkan perbuatan Dato Hishamudin itu adalah agresif dan mencabar bangsa lain.

Jangan takut jangan gusar Dato KPemuda. Tak kan Pemuda kita undur setapak pun. Bila mana isu-isu yang berkaitan dengan Parti melambangkan usaha memartabatkan Agama, Bangsa dan Negara. Teruskan perjuangan mu. Pemuda Petaling Jaya Utara akan teguh mempertahankan Ketua Pemuda kita.

Tetapi kita juga perlu sedar, janganlah sesetengah pihak mengambil kesempatan rhetoric tak tentu pasal, semuanya nak skor untuk kepentingan sendiri.

Maka dengan pendekatan “ketelusan dan keterbukaan’’ Agenda Melayu Bandar ini kita mengambil jalan yang terbaik dengan memberi maklum erti sebenar. Iaitu, di sebalik motif keris Panca Warisan yang sebanarnya menjadi lambang perpaduan dan warisan bangsa Melayu bukan untuk mengganggu gugat sesiapa. Ini perlu dijelaskan sejelas jelasnya kepada keseluruhan rakyat khasnya yang berbangsa bukan Melayu.

Kebijaksanaan dalam cara kita menangani sesuatu isu itu akan meletakkan kita sebagai pemimpin yang disegani dan disayangi.

Dan yang Ketiga Sdr perwakilan sekelian,

b) Agenda Melayu Bandar yang mencerminkan kepimpinan yang bertanggungjawab, berintegriti tinggi, keikhlasan dan pengurusan yang baik

Isu Melayu Bandar bukan lagi tentang infrastuktur asas. Bukan lagi tentang bekalan air bersih, bekalan elektrik, jalan raya, pembinaan sekolah dan sebagainya. Tetapi lebih kepada isu – isu semasa untuk menaik tarafkan kualiti kehidupan mereka.

Mereka sudah ada jalanraya. Tetapi mereka perlukan jalanraya yang selamat digunakan, berfungsi dan tidak berlopak.

Melayu Bandar sudah ada sekolah. Tetapi mereka perlukan kualiti pendidikan yang lebih baik dan bertaraf tinggi untuk penyediaan anak-anak mereka bersaing diperingkat Glokal. Pendidikan yang baik akan menjamin pekerjaan yang lebih baik kelak. Sistem pendidikan yang baik mempromosikan dasar integrasi perkauman yang efektif.

Melayu Bandar bercakap tentang integrasi perkauman. Bukan lagi divide and rule.
Sdr perwakilan sekelian,

Masa berlalu dengan cepat sekali dibandar, dan Melayu Bandar perlukan perkhidmatan dan pengurusan yang baik.

Malaysia terkenal dengan Negara infrastruktur kelas pertama tetapi malangnya mentaliti masih kelas ketiga. Malaysia mempunyai antara lebuhraya terbaik dunia tetapi masih terdapat pengguna jalanraya yang membuang sampah merata – rata.

Malaysia membuat pelaburan berjuta – juta ringgit untuk tahun Melawat Malaysia tetapi rakyat masih tidak tidak tahu melayan tetamu dengan baik. Kekurangan “common courtesy” antara kita yang berat mengucapkan Terima Kasih , Selamat Datang dan sebagainya berleluasa.

Malaysia mempunyai system LRT yang changgih tetapi pengguna berebut – rebut, bertolak – tolak menaiki LRT dan tidak melepaskan tempat duduk kepada mereka yang lebih memerlukan.
Saudara – saudara sekelian,

Saya menarik perhatian Perwakilan sekelian untuk melihat adakah isu2 Melayu Bandar dijadikan asas perjuangan pemimpin kita,

Sebagai contoh. Apakah isu2 yang dibahaskan oleh ahli YBerhormat kita. Rata – ratanya kurang berkualiti, tidak professional dan berunsur peribadi. Sebagai contohnya YB yang membawa isu kenapa dia gagal membeli kereta mewah Mercedes dari Jabatan Imigresen. Contoh yang lain juga termasuk isu “Bocor” yang memalukan kaum wanita seluruh dunia. Ini menunjukkan kualiti pemimpin kita yang bodoh dan tidak sensitive dan kualiti asas perjuangan yang tidak dapat diterima Melayu Bandar.
Saudara – saudara sekelian,

Cuba pula kita bezakan dengan perjuangan pemimpin bukan Melayu. Sebagai contoh isu C-TOS yang dibawa oleh YB Datuk Timbalan Menteri bukan Melayu baru – baru ini. Beliau mendapat impak yang cukup mendalam dan jayanya. Kenapa tidak isu ini dibawa oleh Pemimpin kita?

Tuan – tuan sekelian,

Sebagai penyelesaian kepada masalah di atas, Agenda Melayu Bandar perlu melahirkan pemimpin baru dengan kualiti kepimpinan yang tinggi. Isu – isu yang dibawa dan dipelopori mestilah isu – isu yang dekat di hati Melayu Bandar dan mestilah strategic, intelektual, berdasarkan fakta, profesional dan pemahaman isu2 secara mendalam. Di dalam Agenda Melayu Bandar tiada ruang untuk isu – isu emosi dan remeh temeh semata – mata.

Untuk pengisian saya yang terakhir, Agenda Melayu Bandar perlu:

c) Membawa balik perjuangan politik kepada asas murni yang kukuh dan jelas difahami oleh seluruh rakyat Malaysia. Kita perlu kembali kepada asas Perjuangan memartabatkan Agama, Bangsa dan Negara. Kita perlu kembali kepada Sejarah, memahami Sejarah supaya kita dapat mencartakan masa depan kita dengan lebih berkesan. Kita perlu pendekatan B2B, dengan izin “Back to basics”.
Saudara perwakilan, apakah itu B2B?

Untuk kembali kepangkuan jalan kita perlu lihat kepada Sejarah. Lebih 60 tahun yang lalu, UMNO dilahirkan dengan objektif menyatu padukan Bangsa Melayu untuk menentang Malayan Union. Ianya berjaya.

Perjuagan UMNO berterusan diera Dato Onn, Tunku, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir dan kini Pak Lah.

Persoalannya adakah adakah asas perjuangan kita setelah 60 tahun berbeza. Saya kira tidak dan tiba masanya kita balik ke pangkuan jalan. Perjuangan UMNO semestinya untuk perpaduan Melayu dan sememangnya untuk memartabatkan Agama, Bangsa dan Negara untuk orang Melayu khususnya.
Saudara – saudara perwakilan,

Terlalu banyak masa dibazirkan untuk merebut kuasa dan jawatan. Terlalu banyak isu yang perlu ditangani oleh Melayu Bandar. Pemimpin yang leka seperti ini tidak diperlukan di sini. Pemimpin yang diperlukan adalah pemimpin berjiwa rakyat yang meletakkan perjuangan untuk keseluruhan rakyat lebih dari dirinya sendiri ataupun segolongan pihak sahaja.

Saya memetik ungkapan Professor Khoo Kay Peng yang berkata, “ … kepimpinan perlu mengambil kira perubahan masa dari kebiasaannya. … dan pemimpin perlu sentiasa terbuka kepada idea baru dari hanya mengekalkan keadaan sedia ada”.

Kesimpulan
Maka para perwakilan yang dihormati,

Kesimpulannya AGENDA MELAYU BANDAR adalah pemangkin perjuangan Melayu di Bandar. AGENDA MELAYU BANDAR adalah agen dan angin perubahan yang sedang meniup dimuka kita sekarang, sama ada kita sedia ataupun tidak. AGENDA MELAYU BANDAR perlu di beri perhatian serius, di olah dan diberi nafas yang meletakkannya sebagai Hala Tuju dan Objektif politk Melayu di Bandar.

UMNO perlu diberi nafas baru, perlu relevan dan terus relevan untuk memastikan Perjuangan untuk memartabatkan Melayu berpaksikan Agama, Bangsa dan Negara berterusan. Dulu, kini …. Dan selamanya.

Kita perlu muhasabah diri dan berubah mengikut pertukaran zaman kalau tidak, kita sendiri akan ditukarkan oleh rakyat dipeti undi ataupun cara yang lain. Saya sedar Agenda Melayu Bandar bukan sesuatu yang mudah untuk mengimplentasikan, merealisasikan dan dijadikan kenyataan serta merta. Tetapi kita perlu mengambil langkah pertama kearah itu iaitu meperincikan AGENDA MELAYU BANDAR. Ini adalah langkah pertama kita.

Tuan Pengerusi Tetap, saya menyokong Usul yang dibawa oleh sahabat saya tadi, usul Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara ini. Ini adalah Hala Tuju Pemuda. Saya mohon menyokong.

Wassalamualaikum wbt.

Latt Sharizan Abdullah
Pembahas usul.