umno_logo-90

PERGERAKAN PEMUDA UMNO NEGERI SELANGOR
30 JUN 2009

KENYATAAN KEPADA JAWATANKUASA PILIHAN DEWAN RAKYAT BERHUBUNG INSIDEN KETUA-KETUA PEMUDA UMNO SELANGOR DI PARLIMEN PADA 26 FEBRUARI 2009

YB Tan Sri Datuk Seri Utama Pandikar Amin Hj Mulia, Speaker Dewan Rakyat,
YB Dato’ Timbalan Speaker Dewan Rakyat,
YB-YB Ahli Jawatankuasa Pilihan Dewan,

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan segala hormat dan rendah diri kami merujuk kepada insiden 26 Februari 2009. Ini adalah kenyataan kami terhadap insiden tersebut.

Sebagaimana yang YB Tan Sri Speaker sedia maklum melalui perbahasan pada sebelah petang 26 Februari lalu dan melalui liputan meluas media massa, telah berlaku sebuah insiden di Perkarangan Parlimen pada hari tersebut yang melibatkan beberapa ahli Pergerakan Pemuda UMNO dan wakil rakyat Pembangkang dari DAP.

Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk merujuk YB Tan Sri Speaker kepada rententan insiden tersebut dan menyatakan seperti berikut:

1.    Ketua-ketua Pemuda UMNO dari Selangor hadir ke Parlimen atas dasar jemputan sebagai tetamu Ahli Parlimen untuk perbincangan dan perjumpaan bersama YB Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Hj Abdul Latiff bin Ahmad. Tidak pernah kami berniat untuk menimbulkan sebarang bentuk kekacauan malah jauh sekali untuk berada di Parlimen semata-mata untuk menimbulkan kekecohan, membuat ugutan dan keganasan sebagaimana dituduh.

2.    Selepas selesai urusan, beberapa orang Ketua Pemuda UMNO berdiri di laluan tertutup antara Bangunan Pentadbiran Parlimen dan Bangunan Utama sebelum pulang ke kereta untuk meninggalkan Parlimen.

3.    Kami terserempak secara kebetulan dengan YB Karpal Singh yang dilihat menuju Bangunan Utama Parlimen. Lalu, kami mengambil kesempatan itu untuk bertanyakan kepada beliau tentang beberapa perkara.

4.    Antara perkara-perkara yang ditanyakan kepada YB Karpal Singh adalah berkaitan dengan kenyataan beliau di dalam Parlimen termasuk penuduhan jenayah berat terhadap Pemuda UMNO yang kononnya telah menghantar kepadanya butiran peluru dan juga penghinaan YB Karpal Singh yang menggelar Pemuda UMNO sebagai “celaka”.

5.    Untuk pengetahuan YB Tan Sri Speaker, tiada sebarang bentuk kekasaran mahupun serangan dilakukan terhadap YB Karpal Singh sebagaimana yang didakwa oleh Pembangkang dari DAP itu.

6.    YB Tan Sri Speaker, kami hanyalah rakyat biasa yang meminta penjelasan terhadap beberapa isu. Ini dilihat perkara biasa sepertinya pihak media meminta penjelasan dari YB-YB dan wakil-wakil rakyat tentang isu-isu semasa.

7.    Namun begitu, sebagai ahli Pergerakan Pemuda kami merasakan telah dijadikan mangsa tuduhan yang begitu serius sekali dan dihina sebegitu rupa oleh YB Karpal Singh. Maka kami secara spontan dan ‘impulsive’ telah memohon pengakuan dari YB Karpal Singh dan juga mendesak agar beliau membuat penjelasan serta menarik balik kenyataan tersebut, selain memohon maaf kepada Pemuda UMNO.

8.    Kami tidak faham mengapakah YB Karpal Singh yang bukan sahaja seorang yang berumur dan dihormati membuat provokasi terhadap golongan muda seperti kami. Sewajarnya, sebagai seorang yang sudah 7 penggal menjadi Ahli Parlimen, beliau lebih bijaksana di dalam kepimpinan dan tidak berlagak secara tidak bertanggungjawab terhadap rakyat biasa khususnya terhadap generasi muda.

9.    Kami berasakan hak kami telah dicabuli oleh YB Karpal Singh khususnya apabila beliau menggunakan statusnya sebagai seorang OKU untuk mengambil kesempatan ke atas kami, rakyat biasa. Dalam insiden ini, kami benar-benar merasakan beliau telah menyalahgunakan status OKUnya dan status immuniti Ahli Parlimennya untuk membuat tuduhan yang tidak berasas dan penghinaan terhadap kami. Pihak Polis sendiri telah membuat kenyataan yang dilaporkan di media massa pada 11 Mac 2009 bahawasanya Pemuda UMNO tiada ada kaitan langsung dengan penuduhan oleh YB Karpal Singh itu.

10.    YB Tan Sri Speaker, adalah sedia maklum Pemuda UMNO adalah golongan pendesak dan benteng serta pelindung maruah Agama Islam, Bangsa Melayu dan Tanahair Malaysia. Ini adalah intipati perjuangan yang kami warisi sejak 1946 lagi. Namum begitu, pendekatan secara konfrontasi, keganasan, keangkuhan, penipuan ataupun intimidasi bukanlah cara Pemuda UMNO dan jauh sekali cara kami. Sebagai anak Melayu, sudah pasti sifat dan sikap ketimuran yang beradap sopan dan berbudi bahasa menjadi pilihan kami.

11.    Kami sebagai golongan muda berpegang teguh kepada pepatah Melayu bahawa, “Yang Tua dihormati, Yang Muda dikasihi”. Sebagai seorang yang lebih berumur dan berpengalaman, YB Karpal Singh seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada generasi muda, bukan melalui fitnah dan pembohongan.

12.    Namun demilkian, setiap individu yang bernama manusia itu mempunyai had untuk bertoleransi. Sebagai pemimpin dari kalangan Ketua Pemuda UMNO Bahagian, kami bersyukur kerana mempunyai tahap kesabaran yang melebihi tahap ahli Pemuda UMNO di akarumbi. Sepanjang insiden tersebut, kami percaya YB Tan Sri Speaker dapat perhatikan bahawa sememangnya kami telah sedaya upaya untuk berlaku adil dan tidak berkasar kepada YB Karpal.

13.    Kami akui, tidak pernah sepanjang 51 tahun sejarah Parlimen, ahli Parlimen berlakuan tidak berhemah terhadap rakyat yang datang ke Parlimen meminta penjelasan mengenai apa yang mereka katakan di Dewan Rakyat. Kami secara baik sebagai rakyat Malaysia telah cuba memohon penjelasan tetapi dilayani dengan begitu buruk oleh Wakil Rakyat di dalam kawasan Dewan Parlimen yang mulia. Ini adalah penghinaan kepada mandat serta kepercayaan rakyat terhadap beliau dan ini adalah satu penghinaan yang lebih besar terhadap institusi demokrasi serta kemuliaan Parlimen.

14.    Kami menyedari bahawa mungkin apa yang berlaku adalah satu kesalahan kerana tidak mengikuti lunas-lunas yang tersedia di Dewan Rakyat bagi menuntut penjelasan dan maaf daripada YB Karpal Singh. Kami juga kesal kerana YB Karpal Singh tidak sensitif sebagai seorang Wakil Rakyat terhadap perasaan rakyat. Kami sememangnya kesal kerana pada pendapat kami, YB Karpal Singh tidak langsung mengambil sikap bertanggungjawab dan ‘accountable’ di atas kenyataan serta tuduhan beliau di dalam Parlimen. Beliau ibarat membaling batu sembunyi tangan.

15.    Kami menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat keterlanjuran di atas insiden yang berlaku tempoh hari. Sebagai rakyat biasa, kami terguris dan berasa terhina apabila ada pemimpin yang berbuat begini kepada kami.

16.    Kami juga ingin memohon jutaan kamaafan daripada YB Tan Sri Speaker dan Institusi Parlimen Malaysia di atas insiden ini.

17.    Kami sesungguhnya dengan penuh rendah diri memohon agar YB Tan Sri Speaker serta Jawatankuasa Pilihan ini mempertimbangkan kenyataan kami ini sebaik-baiknya. Inilah yang ingin kami katakan berkenaan insiden tersebut dan tidak langsung menyembunyi sebarang maklumat lain mengenainya. Kami kini serahkan perkara ini kepada budibicara, pertimbangan dan kebijaksanaan YB Tan Sri Speaker.

Sekian. Terima kasih.