UCAPAN DASAR, 6 OGOS 2009
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO PETALING JAYA UTARA
SEMPENA MESYURAT TAHUNAN PERGERAKAN PEMUDA 2009 (MPP 2009)
@MB
Agenda Melayu Bandar – Perpaduan Melayu sebagai asas Pembangunan Negara
“Memangkin Perubahan melalui Gagasan 1 Malaysia”
Para perwakilan yang dihormati,
Pengenalan – Mengimbas kembali @MB
Tanggal 28 Julai 2007, saya telah membentang dan membahaskan satu halatuju politik Pemuda PJUtara dibawah tajuk Agenda Melayu Bandar, sabagai “pemangkin perubahan”. Pada ketika itu, suasana politik Negara amat berbeza dari sekarang. Barisan Nasional (BN) dilihat kuat dengan kemenangan besar lebih 2/3 kerusi di Pilihanraya Umum 2004 (PRU11). UMNO juga dilihat sebagai Parti pemerintah yang stabil dan “in control” setelah menenerajui kepimpinan pilihan Bangsa Melayu dan Negara sejak kemerdekaan 1957 lagi. UMNO juga gah sebagai pejuang Agama, Bangsa dan Negara dan pembawa pembangunan pesat negara kita sehingga terkenal di serantau dunia.
Tetapi persoalannya ketika itu (sebelum PRU12), adakah UMNO peka terhadap kemahuan dan penilaian Rakyat. Ataupun UMNO “complacent” dengan sejarah lampau, retorik semata-mata dan berpuas hati dengan cara-cara lama sahaja. Nah, terbukti BN tersungkur pada PRU12 kesan Rakyat menghukum kita dengan signal yang cukup ketara sekali. Kalau lah tidak kerana beberapa tempat yang tertentu (termasuk Sabah, Sarawak dan Johor), laungan “dulu, kini dan selamanya”, … mugkin tinggal “dulu…”, sahaja. Memang benar, terbukti melalui sejarah, UMNO telah berjaya membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada Rakyat, tetapi persoalannya adakah kita masih relevan di dalam perjuangan kita, seiring dengan pertukaran zaman.
Kita perlu Berubah, jika tidak kita akan rebah!! ( “… Kita perlu .. berubah mengikut pertukaran zaman kalau tidak, kita sendiri akan ditukarkan oleh rakyat dipeti undi ataupun cara yang lain.. “. – Latt Sharizan Abdullah, Pebahasan Usul Agenda Melayu Bandar, 28/7/07)
Agenda Melayu Bandar, ataupun @MB, adalah Halatuju Politik Masyarakat Melayu di Bandar. Ianya meletakkan perjuangan Politik berasaskan ketelusan, amanah dan keterbukaan. Di dalam @MB kita meletakkan Amanah sebagai paksi di dalam kepimpinan sesebuah Masyarakat. Sebelum perpaduan itu tercapai, semestinya perlu ada kepercayaan dari semua kelompok masyarakat yang dipimpin itu. Pemimpin perlu sedar kuasa untuk memimpin itu sebenarnya adalah Amanah dari rakyat dan ianya dipinjam sementara sahaja. Pemimpin sebenarnya bekerja untuk mereka yang dipimpin. Maka bukan sahaja Pemimpin perlu dekat dengan Masyarakat tetapi juga perlu sensitif dan peka mendengar keluhan mereka yang dipimpin, dan seterusnya bertindak untuk kebaikan mereka.
Seterusnya, @MB meletakkan keutamaan supaya kita telus dan terbuka di dalam perbuatan dan percakapan kita. Cakap mesti serupa bikin, dan lebih-lebih lagi di zaman Blog, Facebook dan Internet ini, kita mesti mengambil sikap tranparen dan terbuka, bertanggungjawab dan “accountable”. Kita bukan sahaja mesti Berubah tetapi juga dilihat Berubah melalui keikhlasan dan kebijaksanaan didalam pertuturan dan perbuatan kita, yang sentiasa di radar Masyarakat yang kita pimpin.
Saudara perwakilan yang dihormati,
Sejarah – UMNO banyak berjasa!
Untuk mengupas dengan lebih lanjut ucapan dasar saya pada kali ini saya menjemput Saudara – saudara sekelian untuk menghayati Lagu Patriotik Warisan.
Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Airmata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cita lenyap di arus zaman
Saudara perwakilan yang dihormati,
Di dalam dua rangkap yang pertama ini, kita menoleh kebelakang melihat sejarah Tanah Melayu di mana kita di jajah beratus tahun sehinggalah semasanya Melayu bersatu dalam usaha perjuangan UMNO yang menuntut dan akhirnya memperolehi Kemerdekaan dari penjajah. Keperitan rakyat pada ketika itu dan sengsaranya kehidupan lebih-lebih lagi semasa jajahan Jepun menyebabkan mereka bangkit menuntut apa yang hak kepada mereka.
Hasil bumi dan khazanah Negara tergadai dan dirampas penjajah adalah disebabkan sengketa sesama sendiri juga faktor tali barut, dan tidak sehaluannya rakyat. Dari dulu lagi sudah ada Pengkhianat Melayu! Tiada perpaduan ketika itu, dan penjajah mengambil kesempatan ini dengan mentadbir Tanah Melayu secara Pecah dan Perintah, “divide and conquer”.
Tidak dapat dinafikan faktor pentingnya Perpaduan pada ketika itu dan tidak kira kedudukan, bangsa, darjat, miskin atau kaya, semata-mata untuk kepentingan satu Negara yang Berdaulat, kemerdekaan dan kebebasan di negeri sendiri. Istana dan Rakyat bersatu, dan dengan perjuangan UMNO, kermerdekaan diperolehi tanggal 1957.
Saudara perwakilan sekelian,
Ternyata Perpaduan orang Melayu ketika itu membawa kemajuan keseluruhan rakyat dari belengu penjajah. Bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi bangsa yang lain termasuk Cina dan India juga beroleh kesenangan dan keuntungan dari Perpaduan Bangsa majoriti iaitu Melayu. Maka boleh disimpulkan perpaduan Melayu membawa keuntungan semua pihak di dalam masyarakat dan Negara.
Persoalannya saudara – saudara sekelian, kenapa kini apabila PAS dan UMNO bercadang untuk mengadakan diskusi kearah Perpaduan yang keahliannya orang Melayu beragama Islam yang juga mewakili lebih 50% dari rakyat Malaysia dilihat sebagai sesuatu yang tidak wajar?
Saya percaya lebih baik dari buruknya initiatif ini dan hanya mereka yang mempunyai agenda peribadi sahaja untuk kepentingan tertentu sahaja yang akan menangguk di air yang keruh. Janganlah sehingga, “.. akibat sengketa sesamalah kita … cita lenyap di arus zaman ..”.
Perjuangan UMNO – masihkah ia relevan?
Saudara perwakilan sekelian,
Setelah 64 tahun kemudian, UMNO masih kekal menerajui tampuk kepimpinan Negara. Tetapi untuk jangka masa berapa lagi. Memang benar kita banyak telah berjasa kepada Agama, Bangsa dan Negara, tetapi sama ada perjuangan kita ini masih relevan mengikut perubahan zaman adalah persoalan pokok yang mungkin akan terjawab di dalam sedikit masa lagi menjelang PRU13. Kita kini ada dipersimpangan jalan, dan kita jugalah yang akan menentukan survival, nasib bangun, sungkurnya UMNO atau sebaliknya sebagai pejuang Agama, Bangsa dan Negara.
Saudara perwakilan sekelian, berikut adalah sambungan kepada lagu Warisan tadi yang mencerminkan keadaan dan kedudukan kita:
Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri
Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang
Saudara2 perwakilan sekelian,
Allah swt sahaja yang Kekal dan segalanya yang lain akan bertemu tarikh akhir hayatnya. Ada juga mereka yang menjangkakan tarikh luput UMNO akan tiba menjelang pasca PRU13 dengan kekalahan BN dan UMNO sendiri sebagai tunggak kepimpinan Negara. Kenapa tidak? Lihat sahajalah nasib Parti Pemerintah di Negara lain yang pernah tersungkur di tempat sendiri setelah sekelian lama memerintah seperti Parti Golkar di Indonesia, Parti LDP di Jepun dan Parti Kongress di India.
Adakah kita akan menerima nasib yang sama seperti mereka? Allah swt telah berfirman, yang Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali mereka berusaha mengubah nasib mereka sendiri. Saya percaya masih ada harapan untuk kita, masih ada masa kita untuk berubah dan masih ada masa untuk kita kembali kepada perjuangan asal kita (“Back to Basics”) dengan membawa harapan dan mesej kepada Rakyat Malaysia bahawa UMNO dan BN masih relevan kepada mereka.
Ubah atau rebah
Saudara perwakilan sekelian,
“Perubahan”, bukalan semata-matanya pertukaran fizikal tetapi merangkumi skop makro dan mikro yang lebih menyuluruh. Kita tidak boleh menganggap dengan “Team” dan kepimpinan baru selepas Pemilihan UMNO 2008, bawahasanya, UMNO telah melalui dan melaksanakan Perubahan. Ahli UMNO dan rakyat mahukan lebih dari itu.
Sesungguhnya YAB DS Najib sebagai pemimpin UMNO dan BN yang baru, perlu membawa roh Perubahan ini dan ditafsirkan bukan sahaja dengan kata – kata tetapi yang lebih penting dari itu, dengan perlaksanaan yang efektif dan output dirasai, yang membawa kebaikan kepada keseluruhan Rakyat Malaysia. Sehubungan itu juga, pemimpin disemua peringkat perlu sebagai satu Pasukan, satu Perpaduan, menyahut seruan Perubahan ini diperingkat grass root supaya ianya dilihat dan dikecapi oleh semua lapisan Rakyat.
Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri
Saudara Perwakilan sekelian,
Perubahan apa yang dimaksudkan di sini. Sebenarnya BN sendiri telahpun dimasa yang lalu telah melalui Perubahan sebelum ini. Maka Perubahan kali ini tidak sepatutnya dilihat sebagai mustahil dan sesuatu yang tidak dapat dicapai. Satu ketika itu, Parti Perikatan membuka keahlian mereka kepada Parti lain yang kininya dikenali sebagai BN. Logo juga melalui perubahan dari Kapal Layar kepada Dacing. Apapun hasilnya, yang menjadi nadi kepada Perubahan ini mestilah dari desakan dan kemahuan Rakyat.
Inisiatif Perubahan dapat di lihat melalui gagasan 1 Malaysia yang diilhamkan oleh YAB DS Najib. Teras kepada gagasan ini adalah Perpaduan rakyat seluruh Negara dengan semangat bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Ini adalah satu Perubahan yang boleh dilihat sebagai drastik dan radikal. Tetapi persoalannya, adakah kerana adakah dengan laungan 1 Malaysia kita mengenepikan perjuangan Bangsa Melayu? Saya kira tidak. Pemahaman yang lebih mendalam perlu diberi kupasan. 1 Malaysia bukanlah sama dengan ideology DAP, Malaysian Malaysia. 1 Malaysia mendokong Perlembagaan yang menghormati Agama Islam sebagai Agama Rasmi, hak istimewa Melayu dan bangsa lain, tetapi mementingkan Perpaduan sesama mereka sebagai satu Negara yang berbilang kaum.
Melalui slogan “Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan”, penekanan diberikan kepada Rakyat secara keseluruhannya sambil menghormati agama, nilai-nilai murni, kebudayaan dan warna kulit yang pelbagai dalam kita menyemarakkan Perpaduan bermatlamatkan pencapaian status Negara Maju dan berjaya. Melalui “celebration of differences and diversity”, kita tetap memperjuangkan bangsa Melayu tanpa menindas Bangsa lain sambil meraikan masyarakat majmuk yang berbilang kaum hidup harmonis dan patriotik sebagai Rakyat Malaysia yang bersatu.
Saudara Perwakilan sekelian,
Perpaduan Melayu sebagai asas Pembangunan Negara
Saya sering menggunakan laungan Perpaduan sebagai asas di dalam usaha kita membangunkan Negara dan meneruskan agenda perjuangan kita. Kita tidak perlu apologetik bila mana kita melaungkan usaha Perpaduan Melayu dan perjuangan memartabatkan Bangsa Melayu. Ini adalah kerana lebih 50% dari penghuni Rakyat Negara ini adalah orang Melayu. Kita adalah majoriti di Negara sendiri.
Sehubungan itu, apabila kita mengaku mengamalkan Kerajaan dan Negara yang berpegang kepada amalan demokrasi, adakah ianya songsang dengan unjuran bahawasanya Melayu itulah lebih jumlahnya dari penduduk berbangsa lain? Bukankah Barat, juga termasuk Parti Pakatan Rakyat yang sentiasa melaungkan dalam perjuangan mereka hak demokrasi, ketelusan, kepentingan keseluruhan Rakyat dan sebagainya?
Kenapa pula tidak konsisten sekirannya kita menerima hakikat sebenarnya bahawa Melayu itu majoriti dan hak kuasa politik ditentukan oleh kumpulan penduduk majoriti yang mewakili kumpulan terbesar penduduk di sesebuah Negara itu?
Namun demikian, walaupun Melayu adalalah majoriti di Negara ini, kita secara tidak langsung telah menjadi kumpulan minoriti akibat perpecahan sesama kita. Ideologi politik menyebabkan kita berpecah kepada lebih dari 3 kumpulan iaitu terbelah kepada UMNO, PAS, PKR dan DAP. Melayu yang tadi majoriti mengikut jumlah penduduk kini menjadi suara kecil yang minoriti dan lemah. Lihat sahajalah keputusan PRU12, yang mana sebagai contohnya Perak, Negeri Melayu tanah tumpahnya Paglima Bukit Gantang telah diperintah oleh kumpulan Bangsa minoriti walaupun dipinjamkan Melayu sebagai boneka ketua pemerintah.
Ianya tidak mustahil yang satu hari sekiranya kita tidak berjaga-jaga dan bangun dari mimpi yang ngeri ini, pada tanggal PRU13, Tanah Melayu tercinta ini diperintah ataupun dikuasai pemerintahan oleh kumpulan minoriti bukan berbangsa Melayu dengan bertopengkan pengkhianat Melayu sebagai boneka.
Adakah ini mustahil saudara perwakilan sekelian? Mahukah Tanah Melayu ini diperintah oleh bangsa lain? Sanggupkah kita mengkhianati Bangsa sendiri? Siapa pengkhianat sebenarnya?
Kenapakah Perpaduan itu penting dan Melayu perlu menjadi tunggak kuasa pemerintah di Malaysia ini? Ini adalah persoalan pokok dan asas kepada kefahaman demokrasi. Jumlah yang lebih dan bermajoriti akan mempunyai suara dan hak yang mengatasi suara dan jumlah minoriti. Sekiranya kumpulan minoriti yang memegang kuasa, mereka akan berjuang untuk hak dan kepentingan minoriti dan akibatnya memungkinkan ketidak adilan yang boleh mencetus huru hara dan ketidak stabilan masyarakat tersebut.
Lihat sahajalah Kerajaan Apartheid di Afrika Selatan yang diterajui kumpulan minoriti pendatang Kulit Putih yang telah merobek dan merampas dengan rakusnya kekayaan Negara itu, yang akhirnya Negara menemui kegagalan dan kehancuran. Akibatnya keadaan ketidak seimbangan sosio ekonomi, kemunduran dan kemiskinan Bangsa majoriti di Negeri itu, yang mengambil masa beberapa generasi untuk memulihkan keadaan. Sanggupkah Saudara, perkara sedemikian menemui nasib kita di Tanah Melayu ini?
Saudara perwakilan sekelian,
Bangsa Melayu yang diwakili UMNO menerusi BN selama ini telah memerintah Negara dengan baik sekali tanpa insiden penumpahan darah selain insiden titik hitam 1969. Negara terus maju sehinggakan pemerintahan UMNO ini telah memberi segala jenis sumber rezeki dan pembangunan kepada semua pihak berbilang Bangsa. Sehinggakan dasar ekonomi Malaysia menguntungkan Bangsa lain tanpa disedari Bangsa Melayu sendiri, yang kini memegang ekuiti ekonomi hanya 19% sahaja.
Inipun setelah berbagai initiatif dan usaha pelbagai untuk membantu mereka. Namun demikian, pihak tertentu masih melaungkan yang Kerajaan BN yang di ketuai oleh Bangsa Melayu itu zalim dan tidak adil kepada Rakyat. Mungkin benar jugak kata mereka, mari kita perjuangkan keadilan sehingga ekuiti Bangsa Melayu menjagkaui lebih dari 50%! Barulah itu dikatakan adil, Saudara Perwakilan sekelian! Boleh?!
Saudara perwakilan sekelian,
Peranan Pemuda sebagai golongan Muda
Oleh kerana itu, Perpaduan Melayu perlu diberi keutamaan. Pemuda perlu memainkan peranan yang aktif untuk memastikan Agenda ini menjadi kenyataan. “It is a numbers game”. Hakikatnya Pemuda secara khusus dan Golongan Muda secara keseluruhannya adalah suara terbesar di dalam formula Perpaduan ini. Statistik menunjukkan 77% dari penduduk Malaysia adalah berumur 44 tahun dan kebawah.
Maka kitalah golongan yang bukan sahaja pendesak, tetapi juga adalah golongan yang mampu dan boleh membuat Perubahan kerarah Perpaduan yang kita diidami ini. Kita sesama sendiri perlulah bersatu dan memahami kenapa perlu dan pentingnya Perpaduan Melayu ini. Natijahnya, kita sendirilah yang akan menjawab kepada generasi selepas ini dan melalui peritnya akibat perpecahan dan kejatuhan kuasa pemerintah ketangan yang lain.
Saudara – saudara sekelian,
Saya mencadangkan beberapa perkara yang boleh kita lakukan bersama sebagai Agen pendesak Agenda Perpaduan Melayu ini. Perpaduan di antara UMNO dengan PAS yang mewakili majoriti Bangsa Melayu mesti dipertengahkan dan direalisasikan. Saya percaya inilah hasrat golongan muda dari kedua-dua belah pihak yang sebenarnya mencari titik persamaan antara kita dan mengenepikan perbezaan.
Saya juga perjaya kita perlu ikhlas di dalam usaha ini, dan bila-bila masa sahaja kita sanggup duduk semeja demi perjuangan Agama, Bangsa dan Negara lebih dari kepentingan individu dan ideologi politik mundur dan tidak berwawasan. Lupakan sengketa lama dan kita buka buku baru dengan idelogi berasaskan Perpaduan, Keadilan, Demokrasi dan Pembangunan untuk semua.
Pemuda perlu mendesak supaya diberi lebih ruang untuk golongan Muda memimpin disemua peringat termasuk Politik, Kerajaan dan Korporat. Setuju? Pemuda perlu diberi laluan untuk bertanding diPilihanraya, bukan kerana kita Pemuda, tetapi kerana kita mewakili Golongan Orang Muda yang lebih hampir dengan demographic Pengundi.
Pemuda juga lebih memahami keperluan dan aspirasi, juga jangkaan Pengundi yang majoritinya Orang Muda. Sudah masanya yang tua memberi laluan kepada yang Muda untuk memberi Suntikan Baru, dengan “sense of freshness”. Apapun, yang Tua tetap dihormati dan disayangi, sentiasa diperlukan sebagai Ayanhada/Bonda mendidik, memimpin juga sebagai penunjuk cara.
Namun, kerana peri pentingnya dan kritikalnya keadaan kini, kita sudah tiada masa dan mesti bertindak sekarang. Calon veteran yang sudah berapa penggal, lebih-lebih lagi yang pernah kalah diPilihanraya sebelum ini, perlulah mengundur diri dan memberi laluan kepada Golongan Muda ini.
Sokonglah mereka dan pimpinlah mereka kearah kejayaan dan elakkan dari perasaan irihati, sabotaj dan jauh hati. Perlu diingat kita semua perlu bergerak sebagai satu pasukan dan objektif kita hanyalah satu, iaitu untuk memastikan Bangsa Melayu, Bangsa majoriti Negara terus memerintah di Malaysia tercinta ini.
Seterusnya, Pemuda perlu bersikap matang, moden dan progresif. Meletakkan paksi perjuangan Politik yang berasaskan Politik membangun dan berwawasan, dan tidak terbawa-bawa dan di “brain-wash” oleh golongan Politik berfikiran lama yang feudalistic, mundur, PHD, bongkak, elit dan ekslusif.
Ini zaman Blog, Facebook dan Internet bukan lagi zaman surat layang, tiada tempat untuk kospirasi dan fitnah. Ini zaman mencari titik persamaan, bukan lagi zaman menuding jari dan mencari kesalahan. Ini zaman Perpaduan dan jauh sekali zaman Perpecahan melalui pecah dan perintah. Pemuda mesti “collaborate dan engage”, jauh sekali dari kepimpinan yang “isolate dan unilateral”.
Pemuda mesti Memimpin dan kehadapan. Bukan sekadar menjadi golongan suruhan sahaja. Pemuda mesti berwawasan, bertanggungjawab dan accountable. Ini adalah nilai murni kepimpinan @MB yang seharusnya disematkan dihati semua Pemuda. Pemuda mesti kembali kepada perjuangan asal, kembali kepada “Back to Basics’ iaitu sebagai pejuang memartabatkan Agama, Bangsa dan Negara.
Akhir sekali, Pemuda mesti berani meluahkan hasrat mereka. Jangan sekali-kali apologetik di dalam memperjuangkan nasib Bangsa Melayu dan Agama Islam. Kita bukan rasis tetapi meletak sesuatu pada tempatnya. Kita sayangkan Bangsa, dan kitalah sebenar – benarnya benteng dan pejuang Negara aman, makmur dan saksama bagi semua. Kita mesti bermatlamatkan membantu orang Melayu kerana merekalah yang amat memerlukan bantuan sebenarnya.
Statistik menunjukkan majoritinya Bangsa Melayulah yang mundur, kitalah yang banyak bermasalah dengan dadah, kita hanya menguasai 19% ekonomi Negara, kita jugalah mempunyai keperluan pembelajaran dan akses kepada institusi pendidikan serta biasiswa dan lain –lain lagi. Marilah kita semua beraspirasi dan menjadi pejuang sebenar Bangsa Melayu, membina Malaysia Bersatu – 1 Malaysia dan bersatu menggembling Negara maju jaya, aman dan makmur!
Kesimpulan :
Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayukan gagah di Nusantara (3x)
Kita perlu mempunya fokus di dalam perjuangan kita. Saya menarik kesimpulan Agenda Pemuda PJUtara melalui @MB motto halatuju kita. Dengan halatuju itulah kita dapat memastikan landasan kita dapat menuju kepada kejayaan yang dimatlamatkan, iaitu untuk menolong orang Melayu dan memartabatkan Agama, Bangsa dan Negara. Halatuju kita melalui @MB sebagai pemangkin perubahan adalah berpaksikan 4 tunjang utama. Pertamanya, Objektif, semestinya untuk memenangani PRU13, mengembalikan kuasa dan maruah kita, menawan balik Selangor secara khususnya.
Kita semua mempunyai peranan untuk memperkasakan UMNO dan mengembalikan kuasa dan maruah kita. Kita perlu peka dan sensitif kepada aspirasi dan jangkaan “expectation” Rakyat terhadap kepimpinan kita. Seterusnya, tunjang kita yang Kedua ialah Tema, krisis memaksa kita untuk berubah jika tidak pastinya kita akan rebah dihukum rakyat kerana kita sering lena dan lalai mendengar dan berbakti kepad Rakyat – ini perlulah kita semat dihati sebagai tema perjuangan kita.
Tunjang kita yang ketiga ialah Strategi, di dalam segala yang kita usahakan perlulah bermatlamatkan untuk menolong orang Melayu dan Rakat secara amnya. Caranya adalah melalui peremajaan dan pengrakyatan UMNO. Kita berbegang kepada “Rakyat didahulukan dan Pencapaian diutamakan”, melaui Perpaduan Melayu sebagai asas Pembangunan Negara. Ini termasuk politik inklusif melibatkan masyarakat juga yang bukan Melayu berbilang bangsa dan pelbagai umur. Hasilnya, ialah keberkesanan usaha kita itu perlulah diimbangi dengan KPI ataupun Penunjuk Prestasi supaya usaha itu mencapai hasrat yang dapat diukur kejayaannya demi kebaikan kepada Rakyat melalui aktiviti dan program-program yang dijalankan. Sekian.
Hidup Perpaduan!, Hidup UMNO!, Hidup Melayu!
Wassalamualaikum, wbt.