KUALA LUMPUR 10 Mac – Polis mempunyai kuasa untuk menyoal siasat Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan tidak benar di Dewan Rakyat kerana mereka tidak mempunyai kekebalan.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bagaimanapun siasatan itu hanya boleh dilakukan jika ia mendapat kebenaran Speaker atau timbalannya.
Beliau menegaskan, kekebalan seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat adalah merujuk kepada institusi Parlimen dan bukan kepada Ahli Parlimen.
“Polis boleh menyoal siasat mana-mana Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan di dalam Dewan Rakyat tetapi mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat terlebih dahulu.
“Peruntukan kekebalan Parlimen ini telah saya rujuk pelaksanaannya di House Of Commons (United Kingdom), New Zealand dan Australia yang tidak memberi kekebalan kepada Ahli Parlimen,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Wan Junaidi mengulas mengenai perkara itu berikutan bantahan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang mempersoalkan tindakan beliau menolak usul tersebut.
Bung Moktar mengemukakan usul untuk membahaskan tindakan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) apabila menuduh Pergerakan Pemuda UMNO sebagai pihak yang bertanggungjawab membuat ancaman untuk membunuhnya dengan menghantar dua butir peluru hidup baru-baru ini.
Keputusan Wan Junaidi menolak usul itu di dalam kamar menyebabkan Bung Moktar menggunakan Peraturan Mesyuarat 18(3)(b) yang membolehkan persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan apabila sekurang-kurangnya 15 orang ahli berdiri menyokong permintaan itu.
Permohonan Bung Moktar itu menyebabkan lebih 15 Ahli Parlimen BN bangkit menyokong permohonan tersebut malah beliau juga mencabar Karpal membuat kenyataan itu di luar dewan.
Wan Junaidi bagaimanapun menegaskan, beliau tidak membenarkan usul itu dibahaskan kerana Dewan Rakyat telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk melihat tuduhan yang dibuat oleh Karpal.
Katanya, terdapat juga banyak laporan polis telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu mengenai tuduhan Karpal itu dan polis sedang menyiasat perkara tersebut.
“Saya tidak boleh membuat keputusan mendahului siasatan jawatankuasa yang telah ditubuhkan oleh Dewan Rakyat dan pihak polis. Oleh itu saya tidak membenarkan usul ini untuk dibahaskan.
“Sekiranya jawatankuasa itu telah membuat keputusan dan polis telah selesai membuat siasatan, maka tindakan boleh dibuat daripada rumusan yang telah dibuat,” katanya.
(dari Utusan Malaysia 11 Mac 2009)